Apabila ditanya tentang maksud kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”,yang difahami oleh kebanyakan kita ialah “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”. Ini adalah benar, namun ruang lingkup tauhid tidaklah terhad dalam konteks sembahan sahaja. Ia adalah lebih luas meliputi apa yang dapat dikatakan sebagai “tiada yang dapat dianggap melakukan kerja-kerja tuhan melainkan Allah” atau “tiada yang mampu berperanan sebagai tuhan melainkan Allah”.
Dimaksudkan dengan “kerja-kerja atau peranan tuhan” ialah sesuatu yang dinilai oleh manusia sebagai kononnya mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syariat dan sebagainya.
Oleh itu apabila kita bersaksi dengan kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”,kita sebenarnya bersaksi bahawa tiada Tuhan atau apa-apa jua kecuali Allah yang mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syariat dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment