Tuesday 16 August 2011

Last Minute In Ramadhan Kareem


Sedar tidak sedar, kita telah menamatkan separuh bulan Ramadhan, berbaki lagi 11 hari sahaja. Allah s.w.t sahaja yang mengetahui samada prestasi kita dalam 11 hari yang berlalu adalah cemerlang atau temberang. Kita juga mungkin mempunyai sedikit ‘clue’ tentang prestasi kita sendiri.

 Pendekatan Last Minute & Sujud Akhir.

“Orang kita memang suka benda-benda ‘last minute’ 

“Study last minute”

“Buat kerja suka dan lebih bersemangat bila last minute”

“Solat last minute, sujud pun nak tunggu last minute”

Sehingga timbul kefahaman yang meluas di kalangan masyarakat bahawa sujud terakhir dalam solat adalah waktu yang paling maqbul doa.

Nabi hanya beritahu bahawa ketika sujud doa adalah maqbul, tetapi tiada dikhaskan sebagai ‘Keistimewaan Sujud Terakhir’ . Jika ada yang tahu, haraplah memaklumkan sumber sahihnya.

Apa yang ada adalah sabda baginda Nabi s.a.w ketika menyebut :

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا في الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

Ertinya : Dan adapun sujud, maka berusahalah memperbanyakkan doa kerana ia amat hampir dan boleh mendapat kemustajaban bagimu” ( Riwayat Muslim, 1/348)

Jika melihat huraian dan syarahan hadis ini oleh Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar, kita akan mengerti bahawa sujud yang maqbul itu adalah semua jenis sujud terutamanya dalam solat fardhu. Tiada sebarang pengkhususan kepada sujud akhir.

Wallahu ‘alam, tiada juga dijumpai dalam kitab Fiqh yang muktabar akan cadangan sujud akhir ini. Jika benar-benar tiada, justeru ia mungkin pengaruh tabiat ‘last minute’ kot..sehingga terbawa-bawa dalam ibadah.

Memang benar tidak semua jenis pendekatan ‘last minute’ itu tidak tepat, salah, terkeji dan tidak berasas. Dalam sesetengah keadaan ia terpaksa dilakukan, tapi yang dirisaukan adalah kualitinya mungkin boleh tergugat.

Kini, kita ada peluang kita untuk meraih ganjaran dan hasil Ramadhan semakin sampai ke minit terakhir. Bagi memastikan ramai yang berjaya, sayangnya Allah s.w.t kepada kita yang lemah ini, diberinya lagi peluang minit-minit terakhir ini dengan sesuatu yang lebih istimewa. Ia bertujuan memberikan motivasi kepada kita agar mampu menjadi insan bertaqwa serta dengan segera membina tembok iman yang kukuh sebelum keluar dari bulan mulia Ramadhan.

Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Kehebatan Malam Al-Qadar

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Lailatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sahih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai’d Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Dituliskan pada malam tersebut “qadar” atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Lailatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sahih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?


Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar ‘bodoh’ oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram. Justeru, malam Al-Qadar boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu ‘shopping’ dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian 1000 bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti 1000 bulan adalah “beramal di lailatu Qadar sama dengan amalan 1000 bulan yang tiadanya lailatul Qadar ( selain bulan Ramadhan)  ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta’ membawakan satu hadith Nabi s.a.w yang memberi makna 1000 bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami’ Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Roh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadar. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali 4 golongan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadar.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)
Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi 1000 bulan.
Sekian

Wallahu ‘alam

Tuesday 26 July 2011

Hikmah Sujud...

Sujud ketika solat ialah waktu yang paling hampir antara seorang hamba dengan Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-hajj ayat 77 yang bermaksud:"Hai orang yang beriman, rukuk dan sujudlah..." sujud tidak dinafikan mempunyai beberapa manfaat dari segi perubatan, antaranya:-


  • melegakan sistem pernafasan (relieved congestion for breathing)
  • mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.
BERNAFAS KETIKA SUJUD AKAN:-

  • membetulkan buah pinggang yang tekeluar sedikit dari tempat asalnya.
  • membetulkan bahagian peranakan yang jatuh.
  • melegakan sakit hernia.
  • mengurangkan sakit senggugut bagi wanita ketika haid.
  • melegakan bahagian paru-paru daripada ketegangan.
  • mengurangkan kesakitan kepada pesakit apendiks atau limpa.
  • kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh.
  • meringankan bahagian pelviks
  • mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut, ia juga akan hindar dari penyakit seperti apoplexia rupture of blood vessel.

2 Hero Sunnah Sejati

  1. Abdullah bin Umar (Generasi Sahabat)
Dia adalah putera Umar bin Khattab, seorang pemimpin teladan, syeikhul Islam.

Dia meriwayatkan banyak ilmu yang bermanfaat dari Nabi saw.

Sifat Peribadi dan Keutamaan

Abu Ishaq As-Sabi’i berkata, “Aku melihat Ibnu Umar sebagai lelaki yang berkulit sawo matang serta bertubuh gemuk. Sarungnya sampai pertengahan kedua betisnya dan dia senang melakukan tawaf.”

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih taat dalam menjalankan perintah daripada Ibnu Umar.”

Ibnu al-Musayyib berkata, “Seandainya aku dapat menyaksikan bahawa seseorang termasuk ahli syurga, maka aku akan menyaksikan bahawa Ibnu Umar termasuk ahlinya.”

Kesukaan Mengikuti Sunnah

Diriwayatkan dari Nafi’, dia berkata, “Seandainya engkau melihat Ibnu Umar ketika mengikuti Rasulullah SAW, maka engkau akan berkata, “Dia orang gila.”

Diriwayatkan dari Nafi, bahawa Ibnu Umar pernah mengikuti jejak Rasulullah saw di setiap tempat yang pernah beliau gunakan untuk solat, hingga jika Nabi saw berteduh di bawah pohon, maka Ibnu Umar mencari pohon dan berjanji akan menyirami pohon itu supaya kering.

Diriwayatkan dari Nafi’, dia berkata. “Ibnu Umar pernah menyemir janggutnya.

Diriwayatkan dari Zaid bin Aslam, dia pernah berkata, “Ibnu Umar pernah menyemir hingga mengenai bajunya. Lalu ada yang berkata kepadanya, “Engkau menyemirnya dengan warna kuning?” Dia menjawab, “Kerana aku melihat Rasulullah saw menyemirnya dengan warna kuning.”

2. Imam Ahmad bin Hanbal (Generasi Tabi’in)
Dia adalah seorang Imam dalam kebenaran, Syeikhul Islam yang jujur. Ia memiliki nama lengkap Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Az-Zuhli Asy-Syaibani al-Baghdadi.

Dia salah seorang Imam para ahli Imu.

Sifat Peribadi dan Keutamaan

Diriwayatkan dari Muhammad bin al-Abbas an-Nahwi, dia berkata, “Aku melihat Ahmad bin Hanbal adalah orang yang mempunyai wajah yang bagus dan perawakannya sedang, rambutnya diwarnai dengan pacar (hinna), di antara janggutnya terdapat beberapa helai rambut hitam. Aku melihat bajunya tebal dan berwarna putih, dan aku melihatnya dalam kegelapan bahawa dia memakai sarung.”

Ibrahim al-Harbi berkata, “Aku melihat Abu Abdullah, seakan-akan Allah SWT telah mengumpulan seluruh ilmu-ilmu orang terdahulu dan masa sekarang pada dirinya.”

Al-Marruzi berkata, “Aku melihat Abu Abdullah ketika orang-orang sedang berada di rumahnya, dia duduk dengan bersila dan tertunduk. Apabila berada di luar rumah, dia tidak tertunduk, aku masuk dan salah satu tangannya digunakan untuk memegang buku yang dia baca.”

Qutaibah berkata, “Yang terbaik pada masa kami adalah Ibnu al-Mubarak, kemudian pemuda ini, iaitu Ahmad bin Hanbal. Jika aku melihat seseorang yang suka kepada Ahmad, maka ketahuilah bahawa dia adalah pembela Sunnah. Jika ia hidup di masa ats-Tsauri, al-Auza’i dan al-Laits, nescaya dia lebih terdepan dari mereka. Qutaibah ditanya, “Bagaimana jika Ahmad digabungkan dengan Tabi’in?” Dia menjawab, “Kepada kalangan pembesar Tabi’in.”

Abu Abdullah sangat pemalu dan mempunyai akhlak dan etika kesopanan yang baik dan orang-orang dermawan bangga terhadapnya.

Harmalah berkata, “Aku mendengar Asy-Syafi’i berkata, ‘Aku keluar dari Baghdad, aku tidak meninggalkan seseorang yang lebih utama, lebih alim, lebih fakih dan lebih tinggi ketakwaannya daripada Ahmad bin Hanbal’.”

Konsisten Mengamalkan Sunnah

Muridnya, Imam Abu Daud mengatakan: "Aku melihat Imam Ahmad apabila menghantar jenazah, ketika mendekati pemakaman, menanggalkan sandalnya."

Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini berdasarkan hadis di bawah ini:

"Ketika Rasulullah s.a.w. berjalan bersama Basyri, pandangannya terbentur pada seorang yang sedang berjalan di perkuburan dengan memakai sandalnya, kemudian baginda menegurnya: "Wahai si pemakai sandal,celakalah engkau! Tanggalkanlah kedua sandalmu." Orang itu kemudian menoleh dan ketika diketahuinya bahawa yang menegur adalah Rasulullah s.a.w., segera saja dia tanggalkan kedua sandalnya." (Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan Al-Hakim dengan sanad yang sahih).

Syeikh al-Albani berkata di atas sikap Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini: "Semoga Allah menganugerahkan kepadanya rahmat, betapa konsistennya orang ini dalam mengikuti as-Sunnah."

Abu Hatim pernah berkata: "Jika kamu dapati seseorang yang mengasihi Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah orang itu adalah dari ahli Sunnah."

Semoga Allah merahmati dan memberkati dan menempatkan mereka berdua dalam keluasan JannahNya. Amin.

Disusun oleh:
Muhammad Abdulloh Suradi,

Rujukan:
1. Siyar A'lam An-Nubala' karya Imam Az-Zahabi
2. Lembaran Hidup Ulama' oleh Muhammad Abdulloh Suradi

Wednesday 20 July 2011

Mereka Yang Pertama Di Dunia...

Anda pasti mengetahui siapakah orang yang pertama melaungkan azan, wanita pertama yang memeluk agama Islam dan muslim pertama yang menghafal Al-Quran. Namun, tahukah anda siapa yang pertama menulis Bismillah dan beberapa lagi tokoh yang pertama sepanjang sejarah Islam. Hayati kehebatan mereka.

  1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman
  2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail
  3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim
  4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari Qiamat : Nabi Ibrahim
  5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari Qiamat : Nabi Adam
  6. Orang yang pertama yang memakai saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (ibu Nabi Ismail)
  7. Orang yang pertama yang dibangkitkan pada hari Qiamat : Nabi Muhammad s.a.w
  8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As-Siddiq
  9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar Al-Khattab
  10. Orang yang pertama meletakkan jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hassan bin Ali
  11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah
  12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah
  13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan perempuan : Sumayyah binti Khabbat
  14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash
  15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqas
  16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan : Bilal bin Rabah
  17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib
  18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-Dary
  19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam
  20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman Bin Affan
  21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid
  22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafie
  23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam : Ali bin Abi Tholib
  24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawiyah bin Abi sufyan
  25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Al-Rasyid
  26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal : Umar Al-Khattab
  27. Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah : Ali bin Abi Tholib
  28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur
  29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair
  30. Orang yang pertama masuk syurga : Nabi Muhammad s.a.w

Tuesday 12 July 2011

Pembersihan

PEMBERSIHAN DIRI (BERSUCI) MENURUT PANDANGANSYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

Ada 2 jenis pembersihan diri atau penyucian diri kita. PERTAMA: Pembersihan diri yang zahir dengan menggunakan air mutlak sebagaimana yang disuruh oleh syariat agama kita iaitu Islam. KEDUA: Pembersihan diri yang batin atau jiwa. Kita hendaklah sedar tentang adanya kekotoran jiwa atau kekotoran batin dalam diri kita. Kekotoran itu ialah dosa-dosa kita. Untuk membersihkannya ialah dengan bertaubat sebenar-benar taubat. Cara pembersihan diri dalaman (batin) kita itu ialah dengan cara memasuki atau menempuh suatu jalan keruhanian atau suluk atau tarikat yang dibimbing oleh guru kerohanian atau guru kesufian.

Menurut hukum syariat, wuduk akan batal sekiranya kita buang air kecil atau buang air besar, menyentuh kemaluan, mabuk dan sebagainya. Sekiranya selepas persetubuhan atau selepas habis keluar haid dan nifas, diwajibkan pula mandi untuk membersihkan hadas besar dari badan kita. Inilah dia pembersihan badan zahir kita iaitu dengan berwudhuk dan juga dengan mandi.

Berkenaan wuduk Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda:“Setiap kali seseorang itu membaharui wuduknya, Allah membaharui imannya, cahaya imannya bergilap semula dan akan bertambah terang.”

Dan lagi sabda Nabi s.a.w:

“Pembersihan (wuduk dan mandi) berulang kali itu adalah cahaya atas cahaya.”

Kebersihan batin atau kebersihan jiwa boleh juga tercemar dan diri batin kita akan jadi kotor. Ia dikotori perangai yang jahat, tindakan yang membahayakan diri dan orang lain, tingkah-laku yang buruk, sikap negatif seperti sombong, takbur, dengki, iri hati, bongkak, mengadu domba antara manusia, fitnah, marah, hasad, syirik dan berbagai-bagai lagi.

Roh atau jiwa juga akan kotor akibat memakan makanan haram, bibir yang mengeluarkan kata-kata lucah dan menyakitkan hati orang, telinga yang mendengar fitnah dan mengata-ngata orang, tangan yang melakukan pekerjaan yang tidak baik, kaki yang pergi ke tampat maksiat atau mengikuti orang-orang yang zalim, kemaluan yang melakukan zina dan sebagainya. Zina ini bukan sahaja dilakukan oleh kemaluan bahkan juga dilakukan oleh mata. Nabi s.a.w bersabda:

“Mata pun boleh melakukan zina.”Apabila kebersihan rohani tercemar dan wuduk kerohanian terbatal, maka perlulah diperbaharui penyucian (wuduk atau mandi) keruhanian itu dengan taubat iaitu dengan menyedari dosa itu, dengan menyesal yang sangat hingga mengeluarkan air mata (itulah air yang membasuh kotoran dari jiwanya) dengan berazam dan bertekad tidak melakukan kesalahan atau dosa itu lagi, dengan memohon ampun kepada Allah dan dengan berdoa kepada-Nya supaya dihindari dari dosa itu lagi.

Solat itu ialah menghadirkan diri kpdi hadrat Ilahi. Bersuci dan berada dalam keadaan suci adalah suatu kewajipan sebelum solat. Orang yang bijak mengetahui bahawa kebersihan diri yang zahir sahaja tidak cukup. Allah melihat jauh kedalam hati (jiwa atau roh) dengan hati itu perlu disucikan dan penyuciannya ialah dengan taubat. Hanya setelah suci, barulah solat diterima Allah s.w.t.

Firman Allah:

“Inilah apa yang dijanjikan kepadamu iaitu bagi setiap hamba yang selalu kembali bertaubat sebenarnya kepada Allah lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya).” (Qaf: 32).

Pembersihan badan dengan wuduk dan mandi itu adalah menurut syariat dan hukum agama (Islam). Ianya tertakluk kepada masa atau waktu. Tidur membatalkan wuduk. Pembersihan ini tertakluk kepada waktu atau masa, malam dan siang, dalam kehidupan di dunia nyata ini.

Tetapi pembersihan keruhanian, wuduk diri yang batin atau rohaniah tidak tertakluk dan tidak terhad oleh masa dan waktu. Penyucian ini untuk keseluruhan hayat – hidup di dunia hingga ke akhirat.

Wallahu A’alam.

5 Halangan Untuk Menjadi Soleh

SAIDINA ALI BIN ABI TALIB NERKATA; Sekiranya  kamu tidak memiliki 5 perkara nescaya seluruh manusia menjadi orang SOLEH :

1- Rela dengan kebodohan- akan berusha menambah ilmu pengetahuanya.

2-Tamak dengan harta-jika ada sifat qona’ah pasti berusaha kearah kebaikkan.

3-Bakhil  dengan kelebihan.-segala kelebihan yang Allah bagi kepadanya tidak digunakan untuk manfaat alam sejagat.

4- Riya’ dengan amalan. Apabila melakukan amalan soleh dengan baik pasti timbul dihatinya kebanggan atau merasa selesa dan melebihi daripada orang lain maka hilanglah keikhlasan kepada Allah SWT.

5-Merasa bangga dengan pendapatnya. jika dia tahu pendapatnya tidak begitu baik sedangkan pendapat orang lain baik maka ia berusaha mencari pendapat terbaik.